Saturday, January 22, 2011

Emas dan Perak...Kenapa Anda Harus Memilikinya..???

  Bila bercakap pasal emas, pasti kita tidak akan terlepas untuk mendengar ungkapan:

"harga emas & perak sentiasa naik".
"emas & perak tahun ni, lagi murah dari tahun depan".
"baik beli sekarang, esok mahal, confirm tak boleh beli dah".
"kenaikan emas & perak, setahun 20 - 30% melebihi mana-mana instrumen yang lain".

Apakah ungkapan ini FAKTA atau AUTA. Saya sendiri seorang peniaga emas. Saya juga sering mengungkapkan ungkapan-ungkapan di atas tetapi disokong dengan bukti-bukti dan fakta-fakta yang boleh kita dapati kalau kita rajin untuk membaca dan mencari.

Ya, memang benar harga emas dan perak akan naik secara relatifnya. Namun, pada hakikatnya, emas dan perak  tidak mengalami sebarang kenaikan atau penurunan. . Kenaikan harga yang kita saksikan ialah pada ukuran dan sandaran nilai emas dan perak  itu semata-mata. Harga emas dan perak diukur dengan nilai mata wang. Harga emas dan perak kelihatan naik kerana nilai mata wang menyusut dan begitu juga sebaliknya. Tetapi jika dibuat sandaran dengan barangan, kita dapati tidak ada kenaikan harga yang berlaku. Kerana itu kita sering mendengar misalan perbandingan 1 dinar dengan seekor kambing dan 1 dirham dengan seekor ayam.

Benarkah harga emas dan perak tahun ini lebih murah? Apabila berbicara tentang komoditi, tidak kira sama ada emas, perak atau selainnya, pasti kita akan dapat melihat kenaikan dan penurunan harga berlaku selari dengan permintaan dan penawaran. Emas dan perak ialah komoditi dari sumber alam yang tidak boleh diperbahurui. Apabila permintaan melebihi penawaran, maka kenaikan harga berlaku dan begitulah sebaliknya. Selain itu, faktor luaran seperti keadaan politik dan ekonomi juga menyumbang pada ketidakstabilan harga. Memang benar sejarah membuktikan harga emas dan perak  sentiasa naik saban tahun tetapi dalam kenaikan tersebut, masih terdapat beberapa penurunan akibat beberapa faktor luaran.

Murah atau mahal nilai sesuatu barang adalah subjektif. Bagi yang berpendapatan rendah, nilai RM1000 sudah dikira amat mahal, tetapi bagi yang berpendapatan tinggi nilai RM1000 sama seperti RM100 di sisinya. Oleh sebab subjektifnya maksud murah dan mahal bagi setiap individu, maka milikilah emas kerana anda perlu menyimpannya sebagi penyimpan dan pelindung nilai dan bukan kerana harganya murah atau mahal.

Kenaikan harga emas dan perak hanya mampu dibuktikan berdasarkan sejarah. Tidak ada seorang manusia pun mampu meramal kepastian pada masa depan. Pandangan dan pendapat yang dilontarkan hanya berasaskan maklumat sejarah dan faktor-faktor yang menyokong teori mereka sahaja. Ramalan ini bukan dibuat seperti angan-angan kosong tetapi berdasarkan kajian ilmiah. Sesuatu itu hanya dapat disahkan tepat atau tidak apabila tiba masanya. Buat masa ini, jangkaan kenaikan harga emas sehingga USD5000/oz pada tahun 2012.

Oleh yang demikian, buatlah keputusan untuk memiliki emas dan perak kerana anda faham dan tahu mengapa anda perlu memiliki emas dan perak.

No comments:

Post a Comment